Oleh: Syed Ali Tawfik Alattas
Mukadimah
Mukadimah
DALAM ucapan dasarnya sebagai Presiden UMNO pada Perhimpunan
Agung UMNO baru-baru ini, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat satu
penegasan yang penting mengenai Islam Hadhari.
Katanya, ia bukan cek kosong untuk menghidupkan semula
pendekatan konservatif atau membenarkan cara hidup yang terlalu bebas dan
permisif.
Tegas Abdullah, ada kekeliruan dan salah penerimaan mengenai
pendekatan Islam Hadhari sehingga membawa kepada bercambahnya sikap konservatif
atau radikal di kalangan umat Islam.
Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr.
Syed Ali Tawfik Al-Attas bagaimanapun mempunyai pandangan yang lain tentang
punca kekeliruan tersebut.
“Ini berpunca daripada proses penyempitan fikiran umat Islam
mengenai pandangan hidup Islam dan agama Islam itu sendiri,” katanya kepada wartawan
NOOR AZAM SHAIRI dalam satu temu bual petang Jumaat lalu.
Sepanjang wawancara itu, Dr. Syed Ali tidak menyembunyikan
rasa jengkelnya terhadap sesetengah golongan agama yang gagal memahami dan
melihat Islam sebagai agama yang syumul sebaliknya mengecilkan cakupannya
sehingga hanya menyentuh soal halal dan haram. “Mereka itu bukan ulama yang
sebenarnya,” katanya.
Beliau melihat ada banyak tanggungjawab yang sepatutnya
dikerjakan oleh mereka yang bergelar ustaz dan ulama tetapi tugas-tugas itu
tidak mereka kerjakan. “Sana sini tangkap orang berkhalwat. Ada banyak lagi
masalah di negara ini. Kenapa kita membazir usaha dan tenaga semata-mata untuk
itu?” tanya beliau.
Kekeliruan mengenai Islam Hadhari itu, kalaupun ada,
katanya, hanyalah sekitar soal istilah. Hal itu pula sudah beliau jelaskan
dengan terang dalam bukunya Abdullah Ahmad Badawi: Revivalist of an
Intellectual Tradition, yang turut memuatkan satu bab biografi Perdana Menteri
tulisan Ng Tieh Chuan.
MINGGUAN: Apa pandangan Dr. mengenai kenyataan Perdana
Menteri bahawa ada salah tafsir tentang Islam Hadhari?
SYED ALI: Islam Hadhari itu pendekatan politik semata-mata,
bukannya pendekatan agama, dan ini telah dijelaskan dengan terang oleh Perdana
Menteri semasa parti pembangkang riuh dengan cercaan bahawa itu agama baru dan
mazhab baru. Radikalisme dan liberalisme berlaku bukan kerana salah tafsir
Islam Hadhari tetapi penyempitan fikiran umat Islam dalam pandangan hidup Islam
dan terhadap agama Islam itu sendiri.
Salah tafsir itu berlaku mungkin kerana penggunaan istilah
dalam Islam Hadhari itu sendiri. Islam itu menjadi kata nama dan hadhari itu
kata sifat. Ini bermakna ia sejenis Islam. Mana ada jenis Islam; Islam hanya
satu! IKIM sendiri sudah menjelaskan sejak awal lagi sekiranya yang dimaksudkan
ialah masyarakat Islam Hadhari, itu lebih tepat dan memang itu juga yang
dimaksudkan oleh Perdana Menteri selama ini.
Perdana Menteri sudah menjelaskannya dalam kerangka itu
melalui beberapa ucapannya termasuk pada sidang kemuncak luar biasa Pertubuhan
Persidangan Islam (OIC) di Mekah tahun lalu. Beliau menjelaskan bahawa ini
pendekatan siasah untuk Malaysia, dan ia boleh disebarluaskan terutamanya
kepada negara-negara dunia ketiga. Ini kerana pendekatan Islam Hadhari merujuk
kepada soal memahami dan menyelesaikan masalah-masalah masa kini menurut
kerangka pandangan hidup Islam.
Islam itu agama yang syumul dan sempurna. Oleh kerana itu
semua permasalahan manusia sudah terjawab dalam al-Quran dan hadis; agama lain
tidak ada begitu. Jadi apa salahnya kalau ada negara-negara lain termasuk yang
bukan Islam menerima pendekatan Islam untuk mencari penyelesaian kepada
masalah-masalah dalam suasana politik mereka. Bukan kita kata mereka mesti
terima Islam, cuma mengambil konsep yang ada dalam Islam.
Apakah salah faham tentang Islam yang cukup ketara di negara
ini sekarang, baik di kalangan orang Islam mahupun bukan Islam?
SYED ALI: Tidak tepat untuk kita mengatakan orang bukan
Islam itu keliru tentang Islam. Apa yang lebih tepat ialah orang bukan Islam
sendiri keliru mengenai pendekatan yang mereka ambil (mengenai hidup) kerana ia
mencerminkan kesempitan fikiran. Malah kebanyakan perkara yang diajukan
sekarang mengenai tindakan majlis perbandaran memusnahkan kuil dan tokong misalnya,
bukan merujuk kepada sikap agama Islam tetapi lebih kepada soal-soal
pentadbiran.
Warganegara yang beragama Kristian, Buddha dan Hindu di
negara ini tidak merendah-rendahkan agama Islam. Apa yang mereka marah ialah
perbuatan orang Islam yang sewenang-wenangnya menggunakan agama sebagai dalil
dan kekuatan mereka. Kita tidak boleh menyalahgunakan agama untuk kepentingan
sendiri. Masalah kita sekarang, kita hanya mementingkan aspek ritual sahaja –
pergi sembahyang, pakai kopiah, pakai hijab, tetapi soal-soal akhlak kita
abaikan. Ini pengabaian terbesar.
Apa punca kekeliruan mengenai Islam itu?
SYED ALI: Pertama, memang betul, puncanya daripada orang
Islam sendiri. Kedua, daripada unsurunsur luar yang bukan Islam. Tetapi kalau
orang Islam sendiri peka dan berakal fikiran sempurna unsur-unsur yang bukan
Islam tentu boleh dikalahkan. Namun yang merosakkan orang Islam ialah orang
Islam sendiri.
Mereka menyalahtafsir dan menyempitkan fahaman agama
sehinggakan semuanya disimpulkan di bawah halal dan haram. Islam itu universal.
Ia bukan hanya untuk semua umat manusia tetapi apa saja yang perlu kita ketahui
tentang hubungan antara manusia dengan Allah serta hubungan antara manusia
dengan alam. Kalau Islam ini hanya dalam lingkungan halal dan haram ertinya kita
sudah menyempitkan fahaman agama. Tidak boleh, itu bukan hasrat Islam. Islam
ialah untuk meluaskan ilmu seseorang, bukan menyempitkan.
Kalau kita rujuk sejarah, ulama-ulama lampau seperti Imam
Syafii, Imam Malik, Imam Hambal, Al- Ghazali, Ibnu Sina, Ar-Razi, semuanya
mengembangkan kefahaman kita tentang banyak perkara, memberikan kefahaman yang
bermakna. Tetapi pada zaman sekarang, sesetengah mereka yang digelar ustaz dan
ulama ini sebenarnya bukan ulama. Mereka hanya tahu satu perkara, menyempitkan
ilmu kepada syariah, itu saja. Islam tidak khusus kepada satu perkara, hanya
syariah atau halal dan haram padahal dalam Islam itu ada segala-galanya,
tentang pendidikan, ekonomi, pengurusan, demokrasi dan sebagainya.
Kita tidak boleh menyempurnakan fikiran sekiranya kita hanya
memberikan pengkhususan kepada satu perkara dan menyatakan bahawa hanya satu
perkara itulah Islam. Inilah masalah paling ketara sekarang. Saudara sendiri
biasa mendengar ucapan di sana sini yang selalunya dimulakan dengan “dalam
Islam begini, dalam Islam begitu” seolah-olah dia betul-betul faham
segala-galanya tentang Islam – tentang tamadun, pandangan hidup, falsafah dan
sebagainya. Kalau begitu, maknanya dia lebih hebat daripada Ibnu Kathir yang
menulis berjilid-jilid tafsir tentang al-Quran.
Islam sedang disempitkan kepada soal halal dan haram. Apakah
ini buktinya bahawa Islam dirampas (being hijacked) oleh pihak tertentu
sehingga melahirkan kekeliruan ini?
SYED ALI: Mereka yang hijacked Islam ini menggelarkan diri
mereka sebagai ulama dan ustaz tetapi sebenarnya mereka bukan ulama dan ustaz.
Hanya orang melihat mereka sebagai ulama dan ustaz. Mereka sebaliknya membawa
orang Islam kepada kekusutan, dan bukannya faham yang bermakna. Itulah
masalahnya di kalangan orang yang kita gelarkan sebagai ulama besar, sheikh dan
sebagainya.
Kalau kita halusi takrif ulama, ia kata jamak kepada ‘alim
(orang berilmu) yang datang daripada perkataan ‘ilm (ilmu). Ertinya, ulama itu
harus mencerminkan ilmu. Ilmu itu pula mestilah yang menunjukkan pertalian
antara kita dengan alam dan makhluk serta antara kita dengan Tuhan. Apa yang
disampaikan oleh ulama mesti membawa kepada faham yang bermakna supaya apa yang
lahir adalah kefahaman dan kesusilaan, dan bukannya kemelut dan kekeliruan.
Kalau ia membawa kepada kemelut dan kekeliruan, itu bukan ulama namanya kerana
mereka tidak mencerminkan ilmu.
Kalau kita lihat sekarang, yang selalu dikhutbahkan ialah
hubungan antara kita dengan Allah. Bagaimana pula hubungan kita dengan makhluk
yang lain, dengan bumi ini dan sebagainya? Hal-hal yang itu mereka tidak pernah
hendak bercakap.
Kita baru-baru ini dikejutkan dengan larangan kepada orang
Islam daripada mengucap selamat kepada penganut agama lain sempena perayaan
mereka. Apa pandangan Dr.?
SYED ALI: Saya ditegur kerana mengeluarkan kenyataan bahawa
orang yang mengeluarkan arahan itu tidak sempurna untuk menjadi penasihat
syariah, dan lebih baik dipecat. Tetapi kalau kita fikirkan betul-betul, orang
Melayu tidak mengucapkan “Selamat Deepavali” tetapi “Selamat Hari Deepavali.
Orang Melayu sedia maklum bahawa ia merujuk kepada hari perayaan, dan bukannya
agama Hindu. Apabila kita melafazkannya kita tidak merujuk kepada Tuhan mereka.
Jadi apa masalahnya? Orang yang faham syariah sepatutnya tahu perbezaan ini.
Apabila kita mengucapkan selamat kepada penganut agama lain sempena perayaan
mereka, apakah kita berniat untuk memuja agama dan Tuhan mereka? Tidak, kita
hanya berharap mereka bergembira pada hari perayaan mereka, itu saja.
Bagaimana boleh jadi begini?
SYED ALI: Inilah akibatnya apabila orang yang menggelarkan
diri mereka sebagai ustaz dan ulama menyempitkan fahaman agama kepada hanya
halal dan haram. Ini sudah jadi macam orang Yahudi Talmud, yang menyempitkan
ajaran kitab Taurat kepada hanya sebagai perlembagaan undang- undang dan bukan
lagi agama. Kita akan terjebak ke jalan yang sama kalau kita tidak
berjaga-jaga.
Apakah tanda-tanda itu sudah ada?
SYED ALI: Ada – sikit-sikit tak boleh; itu tak boleh, ini
tak boleh. Ucap selamat kepada penganut agama lain sempena perayaan mereka
tidak boleh, syirik kononnya. Inilah yang berlaku apabila agama Islam itu
disempitkan. Kita mesti faham kaitan antara ilmu, alam dan al-‘Alim iaitu
Allah. Ulama mesti mampu memberikan kefahaman kepada kita mengenai
ketiga-tiganya.
Orang melihat toleransi antara kaum di negara ini sedang
terancam.
SYED ALI: Toleransi itu perkataan Inggeris daripada bahasa
Latin, tolerantia yang bermaksud kemampuan untuk menahan diri dalam suasana
yang tidak selesa. Tetapi pengertian toleransi dalam Islam bukan hanya setakat
menahan diri tetapi menerima seadanya serta mengampuni kekurangan dan kelemahan
yang ada.
Kita hidup dalam satu masyarakat yang majmuk. Sebagai orang
Islam, kita arif dan sedar bahawa Islam itu agama yang paling sempurna tetapi
kita tidak pula mengatakan orang yang bukan Islam itu sebagai “oh, awak ini
kafir”; mana kita tahu? Dalam sejarah tamadun Islam pun, orang bukan Islam
tidak pernah digelar kafir kerana beban mengatakan orang lain kafir itu sangat
berat.
Dalam tamadun Islam, orang bukan Islam yang tinggal bernaung
di bawah negara Islam digelar dzimmi. Kalau kita mengaku Malaysia ini sebuah
negara Islam, orang bukan Islam di negara ini tidak boleh digelar kafir tetapi
dzimmi, jika ada keharusan untuk memberikan istilah. Tetapi apa bezanya dengan
memanggil mereka sebagai orang bukan Islam?
Dalam bahasa Arab, falsafah untuk toleransi ini ialah
samahah. Itu sebabnya barangkali mufti-mufti di negara ini digelar sahibus
samahah kerana mereka mestilah seseorang yang ada akal fikiran dan budi pekerti
yang boleh melayan semua orang dengan adil. Maksudnya, dia boleh memaafkan perbuatan
orang bukan Islam yang tidak boleh diterima oleh agama Islam kerana mereka itu
masih manusia ciptaan Tuhan. Samahah itu mencerminkan kemaafan, kemuliaan hati
dan kedudukan yang dihormati. Tolerantia itu sebaliknya tidak ubah seperti bom
jangka yang suatu masa nanti boleh meletup.
Bagaimana Dr. melihat usaha-usaha mencabar kedudukan agama
Islam di negara ini?
SYED ALI: Sebenarnya masalah-masalah yang dihadapi dan
dibangkitkan oleh orang bukan Islam itu bukannya soal agama tetapi apa yang
dilakukan oleh orang Islam. Kebimbangan mereka itu saya boleh faham tetapi
janganlah babitkan soal agama. Kalau kita mengatakan Islam itu agama yang
universal, aman dan bertimbang rasa, kenapa hendak dipersoalkan tentang Islam?
Apa yang boleh dipersoalkan ialah tentang penganut agama Islam, fahaman-fahaman
yang mereka bawa dan cara-cara mereka mengamalkan Islam – itu tak boleh, ini
tak boleh, tidak ada perikemanusiaan dan sebagainya. Itu yang mereka (orang
bukan Islam) marah.
Tetapi saya hendak tanya juga, kalau orang bukan Islam itu
hendak memeluk agama lain selain daripada Islam kenapa tidak ada bising-bising?
Padahal mereka (orang bukan Islam) selalu menyebut “biarlah kami mengamalkan
agama kami secara bebas” tetapi apabila ada di kalangan mereka yang hendak masuk
Islam, ia jadi masalah. Kenapa?
Saya fikir ini kerana mereka menyamakan kedudukan Islam
dengan Melayu, masuk Islam itu dikatakan sebagai masuk Melayu. Tetapi Melayu
itu terlalu nasionalistik, dan sekarang menjadi xenofobia (takut kepada orang
asing). Takrif Melayu juga sudah disempitkan, lebih merujuk kepada rupa paras
seseorang dan bukan lagi tentang pegangan agamanya, amalan budayanya dan
pertuturan bahasanya.
Ada kecenderungan di kalangan orang bukan Islam mahu
bercakap bagi pihak orang Islam. Pandangan Dr. mengenai keadaan ini?
SYED ALI: Bagaimana mereka boleh buat begitu? Mereka tidak
tahu mengenai Islam. Ini tidak masuk akal. Kalau hendak bercakap tentang
sejarah, falsafah dan tamadun Islam, tidak mengapa tetapi bukannya tentang
akidah, Rukun Islam, Rukun Iman dan sebagainya. Apa tujuannya? Mereka tidak
percaya Islam sama sekali, kenapa hendak bercakap tentang Islam?
Saya bukan kata orang bukan Islam langsung tidak boleh
sentuh soal Islam, tetapi apakah hal-hal yang mereka suarakan itu. Kalau
mengenai akidah, al-Quran dan Sunnah, mereka tidak layak untuk bercakap
mengenainya. Mereka tidak akan memberikan manfaat kepada orang Islam, malah
hanya membuatkan orang Islam menjadi was-was.
Kalau mereka sudah belajar mengenai Islam, tidak mengapa
kerana mereka mungkin ada authority seperti sesetengah cendekiawan Barat yang
mendalami Islam, yang lebih arif tentang falsafah dunia Islam berbanding orang
Islam sendiri.
Perdana Menteri menghantar mesej tegas beliau akan
melindungi Islam. Apakah ketegasan itu harus dicurigai oleh orang bukan Islam?
SYED ALI: Saya boleh faham kebimbangan mereka itu. Saya
sendiri pun bimbang melihatkan mereka yang diamanahkan (oleh kerajaan) untuk
melindungi Islam itu tidak berkelayakan untuk berbuat demikian. Mereka berkuasa
saja tetapi tidak berkemampuan untuk memahami Islam dengan sempurna dan adil.
Ini yang membimbangkan golongan bukan Islam, dan kebimbangan itu ada
kewajarannya. Ini kerana tindakan-tindakan yang dilakukan sekarang tidak
menunjukkan semangat Islam sebaliknya lebih kepada penyempitan faham Islam yang
sebenar, salah guna kuasa dan ketidakadilan.
Apakah Islam itu dirosakkan imejnya oleh orang Islam
sendiri?
SYED ALI: Bukan semua orang Islam. Hanya orang Islam yang
tidak layak untuk diberikan kuasa dan tidak layak dipanggil sebagai ulama. Kita
mendengar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dikritik di Parlimen dan
dalam Perhimpunan Agung UMNO. Saya sudah mengatakan hal ini sejak
bertahun-tahun, bukan hanya sekarang. Ayah saya (Syed Muhammad Naquib Al-Attas)
sudah 45 tahun memberi seruan menulis buku Risalah untuk Kaum Muslimin tetapi
orang tidak baca. Beliau sudah kata 45 tahun lalu perkara ini akan berlaku
tetapi orang tidak mahu mendengar
No comments:
Post a Comment