Oleh: DR. SYED ALI TAWFIK AL-ATTAS
Sesungguhnya, kita percaya bahawa negara Malaysia sedang
berusaha mencari pendekatan yang serba baru, dan bahawa negara ini di bawah
kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berusaha mencari
mereka yang serba berani dan berkebolehan melahirkan buah fikiran yang bernas
yang mampu membawa kepada faham yang bermakna. Perdana Menteri sendiri pernah
berkata, bahawa masa untuk bertindak telah pun sampai. Sebelum kita bercakap
mengenai pendekatan yang harus diamalkan demi membawa perubahan minda di
kalangan orang-orang Melayu, adalah wajar kita menjelaskan sedikit sebanyak
mengenai perubahan yang dimaksudkan, memahami istilah ‘minda’ tersebut, dan
siapakah yang dimaksudkan dengan penggunaan istilah ‘Melayu’. Sepintas lalu,
rakyat Malaysia telah pun menyaksikan Perhimpunan Agung UMNO yang serik dengan
niat membahaskan ‘agenda Melayu’. Sekiranya agenda tersebut tidak melibatkan
semua orang Melayu tetapi hanya mereka yang patuh kepada pertubuhan UMNO, maka
pendekatan tersebut tidak harus ditakrifkan sebagai ‘agenda Melayu’ tetapi
sebaliknya ‘agenda Melayu UMNO’.
Apakah perubahan yang dimaksudkan apabila membincangkan cara
mengubah minda Melayu? Adakah perubahan yang dimaksudkan menjurus kepada
kebaikan ataupun sebaliknya? Sesungguhnya, kita percaya bahawa yang dimaksudkan
ialah membawa kepada kebaikan. Seawal tahun 1970, Pemuda UMNO telah
menghasilkan sebuah buku yang mengandungi himpunan kertas kerja yang ditulis
oleh pemimpin-pemimpin serta mereka yang digelar cerdik pandai berkenaan cara
mengubah minda Melayu. Natijahnya, buku tersebut diterbitkan dibawah nama Revolusi
Mental. Isi kandungan buku tersebut telah mengambil rujukan daripada beberapa
surah yang terkandung di dalam kitab al-Quran, himpunan hadis sahih, serta
hikmah daripada tamadun-tamadun lain khususnya tamadun Barat dan Cina. Apakah
benar tafsiran yang dipetik daripada kitab al-Quran? Jika sesungguhnya
pendekatan yang terkandung di dalam buku tersebut dijadikan iktibar, mengapakah
usaha-usaha mengubah minda Melayu dibangkitkan semula?
Walaupun usaha yang diambil oleh Pemuda UMNO pada tahun 1970
dibuat dengan niat yang suci, pada pendapat saya tafsiran ayat al-Quran yang
merujuk kepada perubahan, disalahtafsirkan. Ayat yang dimaksudkan ialah
daripada surah al-Ra‘d, ayat 11 yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak
mengubah nasib sesuatu kaum sebelum kaum itu mengubah apa yang ada pada dirinya
sendiri.
Ayat tersebut dijadikan rujukan dan ditafsirkan oleh
rangkaian pengarang buku Revolusi Mental sebagai membawa maksud ‘perubahan demi
kebaikan’. Akan tetapi, merujuk kepada ayat tersebut, istilah ghayr yang membawa
maksud ‘mengubah’ di dalam bahasa Melayu tidak membawa maksud ‘mengubah demi
kebaikan’ sama sekali, tetapi sebaliknya membawa maksud ‘mengubah demi
keburukan’. Ini adalah kerana mengikut takrif istilah ghayr di dalam bahasa
Arab, ianya selalu merujuk kepada perubahan yang tidak baik. Maka ayat tersebut
sesungguhnya membawa erti bahawa semua yang terkandung dalam alam semesta
diciptakan Allah s.w.t. mengikut fitrah yang baik lagi sempurna. Sekiranya
ciptaan-Nya diubah menjadi batil dan buruk, ini adalah perbuatan manusia
semata-mata. Oleh yang demikian, ayat tersebut haruslah diterjemahkan supaya
membawa kepada faham berikut:
Sesungguhnya Allah tidak mengubah [menjadi batil] nasib
sesuatu kaum sebelum kaum itu mengubah [menjadi batil] apa yang ada pada dirinya
sendiri.
Saya percaya bahawa sekiranya ayat tersebut ditafsirkan
dengan betul sewaktu Pemuda UMNO melancarkan penerbitan Revolusi Mental,
kemungkinan besar harapan dan niat mengubah minda Melayu menuju kebaikan boleh
tercapai. Ini tidak bermaksud bahawa perubahan ke arah kebaikan tidak akan
tercapai buat selamanya. Usaha menuju pencapaian niat murni ini telah pun
bermula, dan insya-Allah akan tercapai jua dewasa kelak.
Setelah mendapati bahawa perubahan yang dimaksudkan membawa
makna yang menjurus kepada ‘kebaikan’, soalan seterusnya, bagaimanakah kita
harus memahami takrif istilah ‘minda’ yang disebut serentak dengan faham
perubahan itu tadi? Istilah ‘minda’ itu pada hakikatnya adalah suatu istilah
yang dipinjam daripada istilah bahasa Inggeris, ‘mind’, seolah-olah tiada
istilah sempurna yang terkandung di dalam bahasa Melayu yang berupaya
mencerminkan faham dan makna istilah ‘mind’. Faham istilah ‘mind’ berbeza
dengan istilah ‘brain’, di mana takrif istilah kedua merujuk kepada unsur
jasmani manakala takrif istilah pertama merujuk kepada unsur rohani, akan
tetapi amalan berfikir tidak jelas. Oleh yang demikian boleh dirumuskan bahawa
apa yang dimaksudkan dengan istilah ‘minda’ merujuk kepada unsur rohani.
Sekiranya ini yang dimaksudkan, istilah yang terkandung di dalam bahasa Melayu
lebih menepati kehendak jasmani dan rohani dengan serentak. Istilah yang
dimaksudkan di sini ialah ‘akal fikiran’, di mana istilah ‘akal’ merujuk kepada
unsur jasmani manakala istilah ‘fikiran’ (thought) merujuk kepada unsur rohani
serta memberi maksud amalan berfikir dengan serentak. Merujuk kepada penggunaan
istilah, mungkin ada yang ingin bertanya, adakah ianya penting menggunakan
bahasa yang tepat? Apa salahnya menggunakan istilah-
istilah daripada bahasa asing sedangkan istilah-istilah
tersebut juga mampu membawa kepada faham yang bermakna konon?
Dalam pada menjawab soalan-soalan tadi, maka adalah wajar
perkara takrif ‘Melayu’ dibincangkan. Siapakah mereka yang bergelar Melayu?
Untuk menjawab soalan tersebut, marilah kita sama-sama renungkan dan mengimbas
kembali takrif istilah ‘Melayu’ yang dikemukakan oleh pengasas UMNO, Dato’ Onn
Ja‘afar. Menurut beliau, takrif Melayu membawa makna bahawa mereka yang
bergelar Melayu itu pada hakikatnya beragama Islam, serta mengamalkan budaya
Melayu yang pada asasnya dibentuk oleh tamadun Islam, dan bertutur dalam bahasa
Melayu yang pada dasarnya dizahirkan oleh agama Islam. Takrif Dato’ Onn Ja‘afar
tadi yang merujuk kepada istilah dan faham Melayu kemudiannya diguna pakai
dalam Perlembagaan Malaysia. Merujuk kepada Akta 160 Perlembagaan Malaysia,
takrif Melayu sebagaimana yang dijelaskan sebentar tadi terkandung dengan dua
pindaan. Selain daripada takrif sebentar tadi, ada dua lagi syarat yang
menentukan seseorang itu Melayu; pertamanya bahawa dia dilahirkan di negeri
Tanah Melayu kepada bapa yang digelar Melayu yang menepati takrif tadi; atau
bahawa dia dilahirkan di luar negeri Tanah Melayu di mana bapanya bergelar
Melayu. Akan tetapi, unsur yang membawa kepada faham pengenalan diri (identity)
sesungguhnya adalah agama Islam itu sendiri.
Hatta, maka bahasa merangkumi unsur faham pengenalan diri.
Akan tetapi unsur tersebut hanya terdapat di dalam bahasa-bahasa tamadun Islam,
antaranya bahasa Arab, Farsi, Melayu, Othmani, dan Urdu. Ini adalah kerana istilah-istilah
asas yang terkandung di dalam bahasa tersebut berupaya mencerminkan hikmat
tasawurnya (conceptual philosophy) sebagaimana ianya ditakrifkan mengikut
rangka pandangan hidup Islam. Adalah tidak benar sekiranya dikatakan semua
bahasa berupaya mencerminkan hikmat tasawurnya, terutama sekali bahasa-bahasa
Barat (the romance languages). Oleh yang demikian, kita berupaya membuat
simpulan bahawa bahasa-bahasa yang terkandung di bawah tamadun Islam merupakan
bahasa mantiqi (languages of reason), manakala bahasa bahasa Barat tidak boleh
ditakrifkan sedemikian. Akan tetapi, apakah hubungan di antara bahasa dan
berfikir?
Merujuk kepada khazanah ilmu tamadun Islam semasa zaman
kegemilangannya, terdapat seorang ulama yang tersohor bernama Abu Bishr Matta ibn
Yunus (940M). Beliau merupakan seorang ulama dalam bidang ilmu mantiq. Abu
Bishr berpendapat bahawa lazimnya ilmu mantiq lebih utama berbanding bahasa;
mereka yang digelar ulama dalam bidang mantiq tidak bergantung kepada bahasa,
sebaliknya mereka yang digelar ulama dalam bidang bahasa amat bergantung kepada
ilmu mantiq. Menurut beliau, ini adalah kerana ilmu mantiq mengkaji fikiran
manakala bahasa mengkaji pertuturan. Oleh yang demikian ilmu mantiq menduduki
martabat yang lebih tinggi berbanding ilmu bahasa. Menurut Abu Sa‘id al-Sirafi
pula (932M), ilmu mantiq merupakan satu ciri bahasa; kedua-duanya, yakni mantiq
dan bahasa mengkaji pertuturan dan oleh yang demikian, ilmu mantiq mencerminkan
penggunaan bahasa yang betul dan tepat. Di sini kita boleh mengambil natijah
bahawa kedua dua ilmu mantiq dan bahasa adalah saling bergantung di antara satu
sama lain. Ini bermakna bahawa cara kita berfikir bergantung kepada bahasa
manakala pertuturan kita mencerminkan fikiran. Nyata bahawa terdapat apa yang
dikatakan sebagai mantiq bahasa; bermakna bahasa itu bersifat mantiqi dan yang
dizahirkan menerusi penggunaan bahasa yang disusun menurut aliran fikiran yang
betul lagi tepat. Mengambil bahasa Melayu sebagai contoh, kita telah pun
menyifatkan bahasa tersebut sebagai bahasa mantiqi. Oleh yang demikian ia
lazimnya mencerminkan fikiran yang bersifat mantiqi. Tetapi sekarang kita ingin
mengubah ‘minda’ Melayu; ini bermaksud kita harus mengubah bahasa Melayu,
manakala sebentar tadi kita menyifatkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang
membawa kepada pengenalan diri. Maka sekiranya kita mengubah bahasa Melayu,
lazimnya kita akan mengubah pengenalan diri kita. Tetapi hakikatnya ialah kita
sudah pun berada di ambang kejahilan yang tidak lagi mengenal diri kita sendiri
disebabkan perubahan bahasa. Lebih-lebih lagi, dalam pada mengubah bahasa kita
telah menggadaikan tanggungjawab berfikir tanpa menyedarinya. Hasilnya,
kefahaman disempitkan manakala kejahilan dibiarkan bermaharajalela dengan
serentak. Pendidikan bahasa Melayu di sekolah-sekolah rendah, menengah dan
kuliah pengajian tinggi tidak melibatkan tatacara bahasa, syarat-syarat
penggunaan bahasa, mahupun kefahaman berkenaan pertuturan bahasa yang bersifat
mantiqi. Kesudahannya orang Melayu sendiri telah menggadaikan peluang kemajuan.
Disebabkan kita sendiri yang tidak memartabatkan penggunaan bahasa Melayu yang
tepat dan betul, akal fikiran kita juga tidak dididik mengikut acuan mantiqi;
dan sebaliknya disebabkan fikiran kita tidak berlandaskan cara berfikir yang
betul, hakikat zahirnya dicerminkan melalui penggunaan bahasa yang tidak
membawa kepada faham yang bermakna.
Saya berpendapat bahawa inilah satu daripada sebabnya orang
Melayu disifatkan sebagai kurang tajam dalam bidang sains, ilmu hisab, dan
didapati sukar memperoleh kemahiran dalam mempelajari bahasa-bahasa asing,
terutamanya bahasa-bahasa Barat, khususnya bahasa Inggeris. Walaupun
bahasa-bahasa Barat tidak disifatkan sebagai bahasa mantiqi, ianya diajar
menurut urutan mantiq. Oleh yang demikian, bahasa-bahasa tersebut berjaya
menyamar sebagai bahasa mantiqi walaupun makna istilah-istilah yang diguna
pakai itu sendiri tidak mempunyai hikmat tasawurnya. Natijahnya, pandangan
hidup mereka sentiasa dalam keadaan terumbang-ambing, yang tidak menentu, yang
kerap diperbaharui selaras dengan perkembangan arus sains dan sejarah manusia.
Mungkin ada pula pendapat yang menyoal kaitan di antara
berfikir dan bahasa, dan mengubah minda Melayu. Menurut mereka, apa yang
dipersoalkan di sini tiada kaitannya dengan persoalan Melayu berfikir tetapi
lebih menjurus kepada mengubah tingkah laku dan sikap orang Melayu. Kita akan
menjawab bahawa sebagaimana yang disebutkan sebentar tadi, cara bertutur
mencerminkan isi kandung fikiran, dan sebaliknya isi kandung fikiran itu
bergantung kepada penggunaan bahasa. Lebih dari itu, sikap dan amalan menjadi
zahir berasaskan kefahaman, yang mencerminkan cara berfikir, yang saling
bergantung kepada penggunaan bahasa yang tepat. Oleh kerana itu, sekiranya niat
kita ialah supaya mengubah sikap dan amalan orang Melayu, maka adalah wajar
supaya cara berfikir dan penggunaan bahasa yang tepat dijadikan matlamat utama.
Sukacita saya menyatakan di sini bahawa adalah tidak adil
melayakkan semua orang Melayu untuk melalui perubahan ‘minda’ ini. Walaupun
hakikatnya ada sebahagian daripada orang Melayu yang memerlukan perubahan
‘minda’ ini, akan tetapi tidak semuanya. Soalan yang harus diajukan ialah
siapakah mereka yang memerlukan perubahan ‘minda’ ini?
Mengimbas kembali pengajaran daripada sejarah, para ulama
merupakan asas kepada kegemilangan tamadun Islam manakala kejahilan dan
kezaliman terhadap golongan para ulama membawa kepada kemerosotan tamadun itu.
Mengambil satu petikan daripada sirah nabi; suatu hari seorang bertanyakan
Rasulullah s.a.w. berkenaan tanda-tanda kemarahan dan kemurkaan Allah.
Rasulullah menjawab, satu daripada tandanya ialah apabila Allah mengeluarkan
golongan para ulama daripada kalangan mereka yang zalim. Nyata sekali bahawa
golongan para ulama merupakan asas kepada pembangunan masyarakat. Inilah
sebabnya kesemua raja serta sultan pada zaman kegemilangan tamadun Islam amat
menghargai golongan para ulama. Mereka yang bergelar ulama pada masa itu
dihormati dan disegani. Mereka benar-benar mencerminkan makna istilah tersebut,
yang mampu memberi kefahaman mengenai kaitan ilmu dengan alam semesta, dan alam
semesta dengan Al-Alim. Kewibawaan dan kebolehan mereka diukur berdasarkan
rangkaian riwayat peradaban ulama-ulama mereka dan bukan berdasarkan pegangan
aliran siasah mereka ataupun berdasarkan kepada kebolehan serta kepakaran
mengampu-ampu para pemimpin ataupun golongan mereka yang berkuasa.
Malangnya, hakikatnya hari ini sebahagian di antara mereka
yang bergelar ulama sebenarnya juhala’. Ada juga sebahagian yang bergelar ulama
hanya berdasarkan kepada pegangan aliran siasah, ada juga yang dinobatkan oleh
segelintir pemerintah dan pemimpin berdasarkan kepakaran mengampu. Maka tidak
hairan sekiranya sebahagian rakyat jelata disifatkan sebagai jahil dan merosot.
Golongan para pemimpin harus faham bahawa mereka yang benar-benar alim tidak
perlu bergantung kepada mereka untuk dinobatkan sebagai alim. Sayidina Ali ibn
Abi Talib pernah berkata, jangan sekali-kali mengukur ilmu berdasarkan siapa
yang membawanya, sebaliknya jadikanlah ilmu yang dibawa oleh seorang itu
sebagai tanda ukur keilmuannya. Oleh yang demikian, adalah tidak wajar memberi
penghormatan kepada segelintir mereka yang membawa kepada kejahilan dan
kemunduran hanya kerana mereka telah dinobatkan sebagai ulama oleh sejumlah
kecil pemimpin atau pihak yang berkuasa yang tidak bergelar ulama sendiri. Akan
tetapi hakikatnya ialah sebahagian yang bergelar ulama di antara golongan orang
Melayu hari ini sebenarnya tidak layak memikul amanah tersebut. Golongan yang
dimaksudkan inilah yang diamanahkan sebagai penasihat agama kepada sebahagian
para pemimpin. Merekalah yang menzalimi golongan para ulama yang sah disebabkan
ketandusan ilmu mereka. Merekalah yang mendiamkan diri semasa Perhimpunan Agung
UMNO yang membahaskan agenda Melayu. Merekalah yang mencetuskan kekeliruan dan
kecelaruan yang membawa kepada kemelut dan kezaliman. Hakikat ini jelas
diperlihatkan sekarang berdasarkan kemelut yang melanda golongan orang Melayu.
Untuk mengatasi masaalah yang melanda kita sekarang, haruslah kita mengimbas
semula kedudukan maruah bangsa, dan seterusnya menolak mereka yang membawa
kepada kekeliruan dan fitnah. Insya-Allah kita semua akan mengambil iktibar
daripada isi kandungan makalah ini, dan berusaha dengan bersungguh-sungguh
untuk memperbaiki kemiskinan peradaban kita. Mudah-mudahan Allah akan
memberkati kita dalam usaha mengubah demi kebaikan akal fikiran golongan Melayu
yang disebutkan sebentar tadi.
No comments:
Post a Comment