Oleh Dr. Syed Ali Tawfik al-Attas
SEPINTAS lalu saya ditanya mengenai pendekatan Islam
Hadhari, dan diminta menjelaskan pendekatan tersebut agar ianya membawa kepada
faham yang bermakna.
Ada pihak yang menyifatkan pendekatan tersebut sebagai
merupakan pendekatan agama tanpa menghuraikan dengan jelas dan nyata
unsur-unsur mahupun dalil-dalil yang membuktikan kesahihan dakwaan tersebut.
Adakah pendekatan ini memenuhi syarat-syarat pentakrifan? Bagaimanakah
pendekatan ini harus ditakrifkan? Sebelum menjawab soalan-soalan yang
dikemukakan, adalah wajar bertanya, apakah matlamat pendekatan Islam Hadhari?
Semenjak pendekatan Islam Hadhari diperkenalkan oleh Perdana
Menteri Malaysia yang kelima, yang juga pelopornya, beliau telah menjelaskan
dengan terperinci mengenai matlamatnya. Maka dengan itu dapatlah dirumuskan
bahawa matlamat pendekatan tersebut meliputi tiga unsur, iaitu pertama adalah
supaya budaya ilmu dimartabatkan; kemudian pula menyusul unsur yang kedua,
iaitu membangunkan keupayaan insan yang berlandaskan budaya ilmu yang disebut
sebentar tadi. Dengan zahirnya pembangunan insan yang mengutamakan budaya ilmu
maka kemajuan ekonomi, yang merupakan unsur yang ketiga, dapat dicapai. Nyata
bahawa unsur yang kedua dan yang ketiga amat bergantung kepada unsur yang
pertama, iaitu budaya ilmiah yang merentasi zaman dan bersifat mantiqi. Maka
sekiranya ini matlamat pendekatan Islam Hadhari, apakah jalan yang menjurus
kepada matlamatnya dan bagaimanakah caranya mencapai matlamat tersebut?
Sebagaimana yang disebut tadi, pencetus faham pedekatan
hadhari ini ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri.
Ianya dilancarkan seiring dengan matlamat yang dihuraikan sebentar tadi. Bagi
menjawab pertanyaan berkenaan cara mencapai matlamat itu, pentadbir utama
negara Malaysia telah menghuraikan pendekatan Islam Hadhari. Oleh yang
demikian, boleh disimpulkan bahawa pendekatan tersebut bagaikan sebuah peta.
Sekiranya peta tersebut tidak ditulis dengan jelas, ataupun ditulis menggunakan
bahasa yang tiada kemampuan membawa kepada faham yang bermakna, maka matlamat
itu mustahil dicapai. Sebagai contoh, sekiranya seorang membeli sesuatu mainan
yang memerlukan pemasangan yang rapi. Gambar di atas kotak mainan tersebut
memaparkan mainan yang terkandung di dalam. Gambar tersebut merupakan matlamat
yang ingin dicapai selepas bahagian-bahagian mainan tersebut dipasang rapi.
Apabila kotak mainan tersebut dibuka, ianya mengandungi bahagian-bahagian yang
bernombor serta buku panduan yang menjadi rujukan utama bagi mencapai
matlamatnya. Sekiranya buku panduan tersebut ditulis dalam bahasa asing yang
tidak difahami, ataupun sekiranya ianya ditulis mengikut acuan yang tidak
mencerminkan kenyataan, adalah mustahil matlamat tersebut tercapai. Akan tetapi,
seandainya matlamat tersebut tercapai walaupun dengan buku panduan yang
mencurigakan dan yang sukar difahami, ini tidak bermakna matlamat yang
diinginkan tercapai secara terancang tetapi dicapai secara tidak sengaja. Jelas
bahawa buku panduan yang mampu mencapai matlamat yang membawa kepada faham yang
bermakna adalah sangat mustahak.
Oleh kerana pendekatan Islam Hadhari ini bagaikan sebuah
peta ataupun rujukan yang memberi panduan, maka penjelasannya mesti mampu
membawa kepada faham yang bermakna. Sekiranya penjelasan yang diberi membawa
kepada kekeliruan dan kemerosotan, adalah mustahil matlamatnya akan tercapai.
Seterusnya bagi memahami pendekatan tersebut, adalah wajar ianya dihalusi.
Mampukah
Berkenaan istilah ‘Islam Hadhari’, tiga persoalan harus dijawab.
Mampukah ianya ditakrifkan? Sekiranya tidak, mampukah ianya digambarkan dengan
jelas dan nyata? Seandainya ianya mampu ditakrif dan digambarkan dengan jelas
dan nyata, adakah takrifnya membawa kepada faham yang bermakna?
Faham ‘takrif’ merupakan sesuatu di mana jenisnya dinyatakan
bersama dengan perbezaan. Oleh yang demikian, bagi mentakrifkan istilah ‘Islam
Hadhari’, jenisnya merujuk kepada istilah ‘Islam’, manakala perbezaanya merujuk
kepada istilah ‘Hadhari’. Akan tetapi, agama Islam merupakan agama yang syumul
dan kamil. Oleh yang demikian, adalah mustahil ianya dibahagikan kepada jenis
mahupun perbezaan. Nyata bahawa adalah mustahil istilah tersebut berupaya
ditakrifkan. Lanjutan daripada itu, sekiranya istilah ‘Islam Hadhari’ itu
dihalusi, maka istilah ‘Islam’ merujuk kepada nama agama. Oleh kerana itu,
ianya disifatkan sebagai ism manakala istilah ‘Hadhari’ merujuk kepada sifat
yang membezakan ism itu tadi. Akan tetapi, adalah mustahil agama Islam
dibezakan, dan oleh kerana itu faham tersebut tidak mampu membawa kepada faham
yang bermakna. Tasawur, ataupun kefahaman, akan membawa kepada makna sekiranya
akal fikiran berupaya mengenali makna tersebut menerusi benda yang ingin
difahami. Oleh kerana kita telah menunjukkan bahawa adalah mustahil istilah
‘Islam Hadhari’ itu ditakrifkan dengan nyata sehingga membawa kepada faham yang
bermakna, ianya bukan sesuatu kefahaman (concept). Hakikat ini jelas oleh
kerana Perdana Menteri selalu merujuk kepadanya sebagai sesuatu pendekatan.
Berkenaan tohmahan bahawa pendekatan tersebut merupakan
sesuatu agama baru dan mazhab baru, penjelasan menafikan teguran tersebut telah
diutamakan oleh Profesor Dr. Wan Mohd. Nor Wan Daud dalam buku tulisannya
berjudul Masyrakat Islam Hadhari. Secara ringkas menurut beliau, pendekatan
tersebut tidak boleh disifatkan sebagai agama baru mahupun sebagai mazhab baru.
Ini disebabkan faham agama dan mazhab. Sekiranya pendekatan tersebut merupakan
agam baru, maka unsur akidahnya serta rukun-rukunnya wajib terkandung. Begitu
juga dengan mazhab baru. Sekiranya benar pendekatan ini merupakan mazhab baru,
unsur usul al-din serta rujukan alim ulamanya wajib dicerminkan. Pendekatan
Islam Hadhari itu tidak melibatkan mana-mana unsur yang dihuraikan tadi, dan
oleh yang demikian, adalah mustahil ianya disifatkan sebagai agama mahupun
mazhab yang baru. Akan tetapi tohmahan dan teguran tersebut disebabkan
penjelasan yang tidak membawa kepada faham yang bermakna tetapi sebaliknya
membawa kepada kekeliruan.
Soalan seterusnya, apakah yang dimaksudkan sebagai
pendekatan Islam Hadhari?
Sekiranya penjelasan yang dihuraikan difahami, maka kita
mampu simpulkan bahawa apa yang dimaksudkan adalah suatu pendekatan yang
mendesak masyarakat memahami dan mengenali masalah-masalah yang hadir pada
zaman sekarang, dan seterusnya mencari jalan penyelesaiannya menurut rangka
pandangan alam Islam. Oleh yang demikian, pendekatan tersebut sebenarnya
merujuk kepada kefahaman orang Islam dan bukan kepada agama itu sendiri.
Bahan-bahan yang dijadikan rujukan dan panduan termasuk al-Quran, hadis, fardu
ain dan kifayah. Akan tetapi malangnya, sebagaimana yang telah dijelaskan di
dalam makalah yang diterbitkan dua minggu sebelum ini (Mengubah minda Melayu,
15 April), hakikatnya hari ini sebahagian di antara mereka yang bergelar ulama
sebenarnya jahil. Ada juga sebahagian yang bergelar ulama hanya berdasarkan
kepada pegangan aliran siasah, ada juga yang dinobatkan oleh segelintir
pemerintah dan pemimpin berdasarkan kepakaran mengampu. Maka tidak hairan
sekiranya penjelasan pendekatan siasah ini mebawa kepada kekeliruan. Bukannya
senang mentafsirkan ayat-ayat mutashabihat yang terkandung di dalam kitab suci
al-Quran. Ianya memerlukan bukan sahaja kepakaran bahasa dan sejarah, tetapi
berpandukan akal fikiran yang waras lagi mantiqi yang berupaya menjelaskan
hakikat sebenar serta memahami kesimpulannya yang boleh diguna pakai bagi
mengatasi sebarang kemusykilan yang melanda masyarakat zaman sekarang.
Oleh kerana pendekatan ini merupakan pendekatan yang
dilahirkan dan dipelopori di pentas siasah, ianya lebih merujuk kepada golongan
ahli siasah zaman sekarang. Pendekatan ini menjelaskan cara pentadbiran yang
adil dan beramanah, sesuatu yang amat diperlukan daripada mereka yang disanjung
oleh masyarakat jelata. Bagi masyarakat jelata, sekiranya agama Islam difahami
dan diamalkan mengikut matlamat pandangan alam Islam, nescaya masalah
keruntuhan akhlak dan kejahilan akan dapat diatasi. Bagi mereka yang
mempelopori bidang siasah, faham pendekatan Islam Hadhari yang dihuraikan
sebentar tadi akan dapat mencapai matlamat yang diinginkan, dan seterusnya
sepuluh prinsip yang dijelaskan oleh Perdana Menteri akan dapat dizahirkan.
Penjelasan ini bertentangan dengan kebanyakan penjelasan lain yang mengutarakan
sepuluh prinsip itu, seolah-olah dengan memahami serta mengamalkan sepuluh
prinsip itu tadi maka suatu keadaan yang digelar Islam Hadhari akan tercapai.
Dalam menjelaskan sepuluh prinsip ini, kebanyakan penjelasan tidak mengambil
faham bahawa dengan benar-benar memahami serta mengamalkan prinsip yang
pertama, iaitu iman dan takwa, sembilan prinsip yang seterusnya akan tercapai
dengan serentak.
Lebih banyak lagi yang mampu diperjelaskan berkenaan perkara
ini tetapi kebanyakannya telah pun dibincang dan dihalusi dalam buku berbahasa
Inggeris saya berjudul Abdullah Ahmad Badawi: Revivalist of an Intellectual
Tradition yang telah pun diterbitkan oleh Pelanduk, dan melalui karangan
cetusan pemikiran Prof. Dr. Wan Mohd. Nor Wan Daud yang diterbitkan oleh Dewan
Bahasa dan Pustaka. Sekiranya pendekatan ini benar-benar diamalkan oleh
golongan ahli siasah mengikut acuan yang mampu membawa kepada faham yang
bermakna, matlamat yang diinginkan mampu tercapai. Tetapi sebaliknya sekiranya
pendekatan tersebut disalahtafsirkan, diputarbelitkan dan dijadikan bahan
rujukan semata-mata demi kepentingan segelintir, mustahil matlamatnya mampu
tercapai. Wallahualam bissawab
No comments:
Post a Comment